Saturday, September 13, 2014

sejarah sekolah


Assalamualaikum w.b.t



Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Nibong Tebal yang dikelolakan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia adalah merupakan sekolah menengah kebangsaan agama yang terbaru didirikan di negeri Pulau Pinang. Sekolah terawal yang didirikan ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Al-Mashoor(Lelaki) dan Sekolah menengah Kebangsaan Agama Al-Mashoor (perempuan) pada tahun 1916, diikuti dengan Sekolah Menengah kebangsaan Agama Al-Irshad (yang diambilalih pada tahun 1977). Dua buah sekolah iaitu Sekolah menengah Kebangsaan Agama (Perempuan) Al-Mashoor dan Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (Lelaki) Al-Mashoor didirikan di bahagian pulau manakala Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Al-Irshad didirikan di daerah Seberang Perai Utara.
Memandangkan sambutan yang semakin menggalakkan di kalangan masyarakat terhadap pendidikan berbentuk agama, maka PIBG SMK Agama Al-Mashoor (Perempuan) telah mendesak kerajaan melalui Menteri Pendidikan ketika itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim agar membeli sebidang tanah bersebelahan bangunan sekolah tersebut untuk membina bangunan tambahan yang baru. Walaubagaimanapun, Datuk Seri Anwar mencadangkan agar sebuah bangunan baru dibina di daerah Seberang Perai Selatan memandangkan kos membeli tanah seperti yang dicadangkan oleh PIBG SMK Agama Al-Mashoor (Perempuan) terlalu tinggi. SMK Agama Al-Mashoor (Perempuan) akan dipindahkan ke sana apabila ia siap kelak.
Untuk merealisasikan hasrat ini, maka tanah seluas 34,815 ekar telah dibeli oleh Kementerian pendidikan Malaysia di atas tanah yang terletak di Jalan Permatang Tok Mahat, Nibong Tebal. Perisytiharan pembinaan sekolah tersebut di tapak yang ada sekarang telah dilakukan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim , sewaktu beliau merasmikan tapak Perumahan Baru Seri Acheh, Nibong Tebal. Sejak itu perancangan yang teliti telah dibuat oleh Kementerian Pendidikan Malaysia dengan jangkaan harga bangunan RM 20 juta. Kerja-kerja pembangunan telah dimulakan pada tahun 1994.
Selepas bangunan tersebut siap, pihak pengelola Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Al-Mashoor (Perempuan) tidak mahu melakukan perpindahan. Mereka terus kekal di tapak mereka sekarang di samping akan terus berusaha menambah keluasan kawasan dan bangunan baru. Oleh yang demikian, sekolah yang baru ini telah diberikan nama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Nibong Tebal.
Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Nibong Tebal atau ringkasnya SMKANT mula beroperasi pada 4 Disember 1995 dengan mengguna sama bangunan Sekolah Kebangsaan Seri Sentosa, Jalan Victoria, Nibong Tebal.Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Nibong Tebal menempatkan kesemua pelajarnya yang seramai 133 orang pelajar tingkatan satu di asrama. Kelas-kelas di tingkat atas telah diubahsuai menjadi dorm pelajar-pelajar putera dan puteri.
Pada peringkat permulaan, sekolah ini ditadbir oleh seorang penyelaras iaitu Ustaz Mahamad Aziz bin Abdullah ( Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Seberang Perai Selatan unit Pembangunan Kemanusiaan) dan Puan Zawiyah bt. Yusoff selaku Penolong Kanan Hal Ehwal Murid. Mereka dibantu oleh 7 orang tenaga pengajar dan 3 orang staf sokongan.
Apabila bangunan tetapnya yang berharga kira-kira RM 21 juta siap dibina di Jalan Permatang Tok Mahat, Nibong Tebal pada akhir tahun 1996, semua pengurusannya telah berpindah ke sana. Bangunan baru ini mula digunakan pada hari pertama persekolahan iaitu pada 6 Januari 1997. Pada 31 Januari seramai 268 orang pelajar dari tingkatan 1 dan 2 telah didaftarkan menuntut di sekolah ini. Pada awal Mac 1997, seramai 68 orang pelajar, yang kesemuanya perempuan telah ditawarkan tempat untuk belajar di sekolah ini dalam tingkatan 4.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...